Ya Allah please grant me an ever-lasting patience

Saturday, 25 June 2011

Apabila Terpaksa Memilih Antara Dua

Pusing kiri tidak kena, pusing kanan pun tidak kena. Malam sudah hampir berlabuh, pagi sudah hampir memperlihatkan dirinya, namun kedinginan malam ini tidak sedikit pun mampu mendodoikan aku.
Sudah puas ku cuba untuk melelapkan mata ini walaupun sekejap cuma, namun diriku masih  tidak mampu mengalihkan perhatian mindaku ini yang masih ligat memikirkan jalan penyelesaian yang terbaik untuk permasalahanku.
Kualunkan zikir-zikir hingga membasahi bibirku namun masih belum juga mampu untuk melenakanku. Ternyata begitu seksanya apabila nikmat Allah S.W.T itu telah ditarik. Aku menangis. Ya Allah, betapa sukarnya untuk membuat pilihan . Apa juga keputusan yang ku buat, pasti ada hati yang bakal terluka, walau hakikatnya aku lah yang pertama akan merasai luka itu.
'Aku buntu Ya Allah,"
Kubangkit dari tempatku berbaring lalu mencapai buku kecil yang pernah kubeli suatu ketika dahulu, namun tidak pernah kuteliti isi kandungannya. Ia bertajuk 'MISTERI SOLAT SUNAT ISTIKHARAH'. Setelah berwuduk, aku menunaikan solat sunat istikharah itu, buat pertama kali dalam jiwaku terasa gementar saat bibir melafazkan niat, menyatakan tujuan bertemu Allah di saat manusia lain sedang enak diselimuti gebar. Cemburunya aku! Air mata tidak tertanggung dek kelopak, lalu meluncur laju membasahi telekung. Betapa kerdilnya terasa, sehingga mahu membuat pilihan pun harus meminta bantuan Allah S.W.T.
Kurasakan itulah solatku yang paling khusyuk, yang pernah aku lakukan. Tidak pernah aku merasakan diri aku sedekat ini dengan Penciptaku. Air mata semakin laju saat aku kulantunkan doa solat istikharah. Ya Allah, aku mohon pilihan kepadaMu dengan ilmuMu, aku mohon petunjuk dengan kudratMu, dan aku mohon kurniaMu yang Maha Agung. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa dan aku tidak berdaya, Engkau Yang Maha Mengetahui dan aku tidak mengetahui, dan Engkau Maha Mengetahui segala yang ghaib.
Aku berteleku di sejadah.
"Sesiapa yang terluka Ya Allah, Engkau ubatilah luka mereka. Aku tidak mampu, lalu aku berserah kepada-Mu Ya Allah,"
Aku lena dalam air mata. Nikmatnya hanya Allah sahaja yang mengetahui. Esoknya, aku dipertemukan dengan hamba Allah yang mampu menolongku membuat pilihan. Melalui perbincangan dengannya, aku semakin jelas dengan keputusan yang bakal aku lakukan. Syukur Ya Allah kerana bebananku semakin berkurangan.
Hidup ini dibentangkan dengan pelbagai pilihan. Mahu atau tidak, kita terpaksa memilih antara dua atau lebih jalan yang terbentang. Malah, hampir kesemua rutin dalam kehidupan kita memerlukan kita untuk menilai dan memilih. Setiap pagi kita perlu memilih samada hendak bangun untuk menunaikan solat subuh atau terus sahaja lena berulitkan mimpi indah. Selain itu kita juga turut terpaksa memilih jenis lauk pauk yang ingin kita masak, terutama sekiranya kita merupakan seorang isteri dan ibu. Pendek kata kita perlu memilih untuk semua perkara yang hendak kita lakukan. Namun, kadangkala akan datang kepada kita, saat yang begitu sukar untuk kita sebagai manusia membuat pilihan apabila ia  melibatkan banyak pihak lebih-lebih lagi mereka yang kita sayangi.
Kutitipkan nukilan ini dengan niat agar sesiapa yang sedang merasa tersepit, mahupun yang sedang buntu untuk memilih agar meluahkan kebuntuan tersebut kepada Allah S.W.T, salah satu caranya adalah dengan mengerjakan solat sunat istikharah. Sebagai seorang pelajar, apabila Allah S.W.T mengujiku dengan menarik semula nikmat tidurku, aku sudah terasa resah dan buntu. Apatah lagi anda di luar sana yang berjawatan tinggi dan mungkin merupakan orang-orang penting dalam sebuah organisasi, sudah pasti anda semua terpaksa membuat keputusan yang lebih besar daripadaku.Malah, kemungkinan besar keputusan itu bakal mengubah nasib hidup seseorang. Allah S.W.T pasti akan membantu kita dengan jalan-jalan yang tidak pernah terfikir oleh kita sekiranya kita rajin berdoa kepadaNYA. Hanya Dia Yang Maha Pengatur, dan Dialah Yang Mengetahui.

Wednesday, 22 June 2011

Si Hitam & Si Putih

Tersebutlah kisah di zaman dulu. Di sebuah kampung, ada dua orang sahabat rapat. Nama dua sahabat ini ialah Hitam dan Putih. Teramatlah baik mereka ini sehinggakan orang ramai mengatakan mereka ini adik beradik.

Nak di jadikan cerita, satu hari berlakulah sengketa besar antara mereka. Besar sungguh sengketa mereka hingga mulai dari hari itu mereka tidak lagi bertegur sapa. Bukan itu sahaja, disebabkan teramat marahnya Hitam terhadap Putih, habis semua cerita buruk Putih yang sebelum ini disimpan oleh Hitam diceritakan kepada orang lain. Biasalah manusia, nak menyedapkan cerita-cerita ini, Hitam mula menokok tambah sana sini rahsia Putih.
Putih amatlah sedih dan marah apabila mendengar cerita-cerita yang dihebahkan oleh Hitam itu. Disebabkan itu, Putih jatuh sakit. Makin lama semakin teruk penyakit Putih hinggakan orang-orang kampung merasakan hidup Putih sudah tidak lama lagi. Maka orang-orang kampung bersungguh-sungguh memujuk Hitam agar berdamai dan memohon maaf dengan Putih. Mula-mula disebabkan ego, Hitam berkeras tidak mahu memohon maaf. Tapi orang-orang kampung itu tidak berputus asa. Maka teruslah mereka memujuk Hitam hingga lembut hati Hitam.
Maka pergilah Hitam menziarahi Putih. Hitam memohon maaf dari Putih. Namun Putih hanya berdiam diri sambil memandang sayu terhadap Hitam. Setelah berkali-kali Hitam cuba memohon maaf, Putih menyatakan beliau boleh memaafkan Hitam dengan syarat Hitam membelikan untuk beliau seguni kekabu. (bahan yang digunakan untuk mengisi bantal). Bergegaslah Hitam pergi mencari seguni kekabu. Puaslah Hitam mencari kekabu tersebut di pasar. Nasib menyebelahi Hitam apabila Hitam berjaya membeli kekabu tersebut dari seorang wanita tua.
Hitam lalu bergegas semula ke rumah Putih dan menyerahkan kekabu tersebut kepada Putih. Sekali lagi Hitam meminta Putih memaafkan beliau. Kali ini, sebelum beliau memaafkan Hitam, beliau meminta Hitam menaiki satu tempat yang paling tinggi di kampung mereka itu dan kemudian menebarkan segala kekabu dalam guni itu agar kekabu itu berterbangan dan memenuhi segenap pelusuk kawasan di situ.
.
Hitam tidak banyak soal. Dia lantas memikul guni kekabu itu dan mencari tempat paling tinggi di kampung mereka itu. Cari punya cari, sudahnya Hitam ternampak sebuah bukit dan tiadalah tempat yang lebih tinggi dari puncak bukit tersebut. Dengan susah payah, Hitam mendaki bukit tersebut sambil memikul guni kekabu itu. Sampai di puncak, Hitam termenung sejenak memerhatikan keindahan alam. Setelah puas, Hitam mula menebarkan segala kekabu dalam guni tersebut hingga tiada langsung kekabu dalam guni itu. Hitam memerhatikan kekabu itu terbang ditiup angin hinggakan ada kekabu yang terbang itu hilang dari pandangan beliau. Dilipat guni yang kosong itu dan hasrat Hitam mahu membuktikan apa yang dipinta Putih telah ditunaikan beliau.
Dengan hati yang girang, Hitam berjalan menuju ke rumah Putih. Sangkanya kali ini, Putih pasti akan memaafkan beliau. Sampai sahaja di rumah Putih, ditunjuk guni yang kosong itu kepada Putih. Hitam dengan penuh harapan memohon maaf kepada Putih. Putih memandang tepat smbil berkata dengan perlahan-lahan. "Hitam, jika kamu benar-benar ingin aku memaafkan kamu, aku ada permintaan terakhir. Aku pasti memaafkan kamu jika kamu laksanakan permintaan aku ini. Aku mahu kamu kutip segala kekabu yang telah kamu tebarkan dari puncak bukit itu tadi!" Terduduk Hitam mendengar permintaan Putih itu.

pengajaran dari cerita ini~fitnah itu amat menyakitkan,belum tentu sakitnya akan sembuh walaupun banyak tenaga,masa dan wang telah dgunakan

Saturday, 18 June 2011

Kuasa Cinta..

Rasulullah SAW bersabda : "Cintailah siapa yang ada di bumi supaya kamu akan dicintai oleh makhluk yang berada di langit " (Riwayat Tabrani)

Cinta Menyintai Atas Keimanan dan Ketaqwaan
Rasulullah SAW bersabda:Kamu tidak akan beriman sehingga kamu berkasih sayang. Mereka berkata : "Kami semua pengasih" Rasulullah SAW bersabda : "Sesungguhnya bukanlah mengasihi seorang sahabatnya sahaja, akan tetapi membawa rahmat kepada manusia, mengasihi semua manusia". (Riwayat Tabrani)
"Kata pujangga cinta letaknya di hati. Meskipun tersembunyi, namun getarannya nampak sekali. Ia mampu mempengaruhi fikiran sekali gus memberi kesan kepada tindakan. Sungguh, cinta dapat mengubah pahit menjadi manis, debu beralih emas, keruh menjadi bening, sakit menjadi sembuh, penjara menjadi telaga, derita menjadi nikmat, dan kemarahan menjadi rahmat. Cinta mampu melembutkan besi, menghancurkan batu karang, membangkitkan yang mati dan meniupkan kehidupan padanya serta membuat hamba menjadi pemimpin. Inilah dahsyatnya cinta!" (Jalaluddin Rumi).

Cinta Yang Terutama

Alangkah indahnya Islam! Di dalamnya ada syariat yang mengatur bagaimana seharusnya manusia mengelola perasaan cintanya, sehingga menghasilkan
cinta yang lebih dalam, lebih murni, dan lebih abadi.Islam mengajarkan bahawa seluruh kuasa cinta manusia harus dipupuk menuju pada Allah Yang Maha Pencipta, sehingga cinta kepada-Nya jauh melebihi cinta pada sesama makhluk. Justeru, cinta pada sesama makhluk dicurahkan semata-mata karena mencintai-Nya.
Asasnya adalah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 165, 'Dan di antara manusia ada orang-orang yang mengambil selain Allah untuk dicintainya; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Sedangkan orang-orang yang beriman amat dalam(taat) cintanya kepada Allah.'
Islam mengajar manusia tentang pengurusan cinta, iaitu bagaimana manusia seharusnya menyusun skala prioriti cintanya. Urutan tertinggi perasaan cinta adalah kepada Allah SWT, kemudian kepada Rasul-Nya . Cinta pada sesama makhluk diuruskan sesuai dengan firman-Nya iaitu kedua orang ibu-bapa, kaum kerabat , anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sekerja, ibnu sabil dan hamba sahaya. Sedangkan harta, tempat tinggal, dan kekuasaan juga mendapat posisi untuk dicintai pada tempat yang lebih rendah . Maha Suci Allah, Allah Maha Hebat!
Perasaan cinta adalah abstrak. Namun perasaan cinta mampu diwujudkan dengan tindakan yang nampak oleh mata.
Di antara tanda-tanda cinta seseorang kepada Allah SWT adalah memperbanyakkan bermunajat, mendirikan solat sunnah,membaca al-Quran dan berzikir kerena dia ingin selalu bersama dan mencurahkan semua perasaan hanya kepada-Nya. Apabila Sang Khaliq memanggilnya melalui suara azan maka dia bersegera menuju ke tempat solat untuk berjumpa dengan-Nya. Bahkan bila malam tiba, dia ikhlas bangun tidur untuk berduaan (berkhalwat) dengan Tuhan kekasihnya melalui solat tahajjud. Betapa indahnya jalinan cinta itu!
Ini dapat dilihat daripada kata-kata di bawah:
"Seseorang tidak akan memiliki kebaikan, meraih kemenangan, merasakan kenikmatan dan kesenangan hakiki kecuali mengesakan cintanya kepada Allah SWT semata, dan Allah lebih dicintainya daripada yang lainnya" ( Ibnu Qayyim al-Jauziah)
Cinta Allah Cinta Rasululllah
Yakinlah wahai saudaraku, kesenangan dan kesusahan adalah bentuk kasih sayang dan cinta Allah kepada hambanya yang beriman. Kesusahan yang diberi Allah adalah tarbiyah terhadap ruhiyah kita daripada Allah SWT, agar kita sedar bahwa kita sebagai makhluk adalah bersifat lemah, kita tidak mampu berbuat apa-apa pun kecuali atas izin-Nya. Akhirnya tinggal bagi kita membuktikan, dan berjuang bersungguh-sungguh untuk memperlihatkan cinta kita pada Allah, agar kita terhindar daripada cinta palsu.Dan Allah tidak akan menyia-nyiakan hambanya yang betul-betul berkorban untuk-Nya.
Untuk membuktikan cinta kita pada Allah, ada beberapa perkara yang perlu kita persiapkan iaitu iman yang kuat, ikhlas dalam beramal, berusaha bersungguh sungguh untuk melaksanakan ibadah wajib dan sunah, seperti qiyamullail, puasa sunnah, membaca al-Quran dan menuntut ilmu. Buah daripada ibadah yang kita lakukan pada Allah, dengan keistiqamahan mengamalkannya dalam setiap hembusan nafas dan langkah hidup ini, Insta-Allah kita akan dapat menggapai cinta dan keredhaan-Nya.Cinta dan kasih sayang membawa kepada kebahagiaan. Isteri menyayangi suami, ibu bapa menyayangi anak-anak, anak-anak menyayangi ibu bapa, jiran-jiran menyayangi jirannya, maka hasilnya masyarakat akan hidup dengan berkasih sayang dan dunia pun akan aman dan damai.
Cinta Terulung
Sungguh merugikan apabila manusia hanya diletihkan oleh cinta dunia, mengejar cinta makhluk, memburu harta dengan segala cara, dan tidak mahu membantu orang yang memerlukan pertolongan. Sedangkan nasib di akhirat nanti adalah ditentukan oleh amalannya ketika hidup di dunia, Bersungguh-sungguh mencintai Allah, atau terlena oleh dunia yang fana ini. Hanya orang yang bertakwa sahaja yang mampu membuktikan cintanya yang sejati kepada Allah SWT.
Kata-kata yang tepat untuk itu seperti di bawah:
'Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu.' {Imam Nawawi)
Faktor kuasa cinta adalah KOMUNIKASI. Tidak ada lain lagi selain komunikasilah yang menentukan turun naiknya kuasa cinta. Bacalah betapa hebatnya komunikasi yang dikatakan faktor kuasa cinta di sini. Kerana itu orang yang sentiasa berkomunikasi akan lebih mesra, akan terlahirnya cinta. Allah menjadikan perasaan cinta sesama manusia agar manusia memahami cinta dan faktor kuasa cinta. Apabila manusia memahaminya, maka sudah pasti manusia akan lebih mudah untuk bercinta dengan Pemiliknya iaitu Allah.
Komunikasilah sentiasa dengan Allah kerana komunikasi merupakan faktor kuasa cinta. Lebih banyak komunikasi, lebih hangat cinta kepada Allah. Lebih hebat cinta kepada Allah. Lebih mendalam cinta kepada Allah. Dengan komunikasi, jiwa lebih tenteram kerana cinta tidak dihalang. Komunikasi dengan Allah lebih menenangkan jiwa kerana segala masalah dikongsi dan diluahkan kepada Yang Tersayang iaitu Allah.
Ingatlah bahawa TIDAK ADA SELAIN ALLAH YANG DAPAT MEMBAHAGIAKAN DIRI KITA. Komunikasilah sentiasa dengan Allah kerana segala-galanya tidak akan berlaku tanpa izin Allah. Komunikasilah dengan Allah apa saja yang difikirkan, dilihat, didengar dan dilakukan. Sentiasa Ingat dan Sebut Nama Allah.

Kembali kepada ALLAH

Dari Ibnu Umar ra katanya; Rasulullah SAW memegang bahuku lalu ia bersabda: "Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olah engkau orang berdagang atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara)". Dan adalah Ibnu Umar ra berkata: "Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi; dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu petang. Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau". (al-Bukhari)
Dunia adalah tempat untuk manusia beramal dalam sekian waktu yang ditentukan dan bukanlah tempat untuk bermukim, bersenang lenang sepanjang hayat kerana kedudukan seseorang itu di dunia ini adalah seperti pedagang atau pengembara yang akan pulang ke kampung halaman tempat asalnya iaitu alam akhirat yang kekal abadi.
Untuk itu, setiap amal ada waktunya di mana apabila luputnya waktu sesuatu amal sudah tentu waktu itu tidak akan berulang kembali. Oleh itu orang yang mengerti nilai waktu akan menyedari bahawa waktu itu sebenarnya adalah umurnya yang jika habisnya suatu detik waktu maka berkuranglah jangka hayatnya dan berkurang pula tempoh amalnya. Selepas itu kekecewaan dan penyesalan tidak berguna lagi.
Oleh itu seseorang yang inginkan kebahagian yang kekal abadi hendaklah memelihara waktunya daripada terbuang dengan percuma atau sebelum tiba waktu yang menghalang seperti sibuk, sakit dan sebagainya. Manusia yang mengejar dan menghabiskan masa dengan mencari "sesuatu yang tidak diciptakan oleh Allah di dunia" (kebahagiaan yang hakiki) adalah manusia yang rugi dan perbuatan yang sia-sia.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah menugaskan satu malaikat berhubung peringkat kejadian anak dalam kandungan rahim ibunya dan keadaan akan dilalui, apabila air benih itu jatuh ke dalam rahim, malaikat bertanya: "Ya Tuhanku! Air benih ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Ya Tuhanku! Darah seketul ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Ya Tuhanku! Daging segumpal ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Maka apabila Allah hendak sempurnakan jadinya seseorang anak, malaikat bertanya lagi: Ya Tuhanku! Adakah ia seorang (yang bernasib) celaka atau (yang bernasib) bahagia? Lelakikah atau perempuan? Bagaimana pula keadaan rezekinya dan ajalnya? (Selepas malaikat mendapat jawabnya) maka ia menulis seperti diperintahkan sedang anak itu dalam perut ibunya." (Hadis Riwayat Anas r.a)
Sebagai seorang yang beragama Islam, kita wajib mempercayai dan bersyukur terhadap kurniaan Allah. Ini kerana beriman kepada qada dan qadar merupakan rukun iman yang ke-6 dan menyangkalnya boleh mengakibatkan terbatalnya iman kita.
Sesungguhnya takdir manusia telah ditentukan sedang ia masih di dalam kandungan ibunya. Namun ini bukan alasan untuk umat Islam hanya berpeluk tubuh tanpa berusaha dan berdoa. Sebaliknya umat Islam harus menggunakan alasan ini untuk lebih kuat berusaha dan berdoa dalam mengecapi kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.


كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَكُنتُمْ أَمْوَاتاً فَأَحْيَاكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat kelak); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).
(Surah Al-Baqarah 2:  Ayat ke 28)

Saat Nabi MUHAMMAD hampir wafat

Terdapat sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan RasulNya. Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Ketika itulah, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan kutbah:
"Wahai umatku, kita semua berada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasihNya. Maka taati dan bertakwalah kepadaNya. Ku wariskan dua perkara pada kalian, al-Qur'an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-samaku."
Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah saw. yang tenang dan penuh minat menatap sahabat-sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap baginda dengan mata yang berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.
"Rasulullah saw. akan meninggalkan kita semua,"keluh hati semua sahabat kala itu.
Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah saw. yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.
Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah saw. masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.
Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tetapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.
Kemudian dia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?" "Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut.
Lalu, Rasulullah saw. menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.
"Ketahuilah anakku, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikat maut," kata Rasulullah saw..
Fatimah menahan ledakan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri Rasulullah lalu Baginda menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.
"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasulullah dengan suara yang amat lemah.
"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.
"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.
"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"
"Jangan khuatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Ku haramkan syurga bagi sesiapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.
Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.
"Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.
"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat penghantar wahyu itu.
"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.
Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahan lagi. "Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.
Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya. "Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu."
Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.
"Ummatii, ummatii, ummatiii?" – "Umatku, umatku, umatku"
Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai dirinya sebagaimana Baginda mencintai kita?
Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi
Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.
Semoga kita hargai segala pengorban Rasulullah SAW

Rindu Nabi MUHAMMAD terhadap kita

Adakah kita merindui Nabi Muhammad SAW setiap hari? Atau kita hanya merasa rindu ketika sambutan Maulid Nabi? Fikir-fikirkan.
Mari kita renungi sebuah kisah yang menunjukkan betapa baginda amat merindui kita; umat akhir zaman.

Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar.
Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.
Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai.
Wajahnya yang tenang berubah warna.
"Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.
"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.
"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula.
Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum.
Kemudian baginda bersuara, "Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."
Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan 'ikhwan' baginda: "Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.
"Malaikat," jawab sahabat.
"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah.
Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi."
"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."
"Mungkin kami," celah seorang sahabat.
"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.
"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.
"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.
"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu.
Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.

Ancaman dari Setiap Sudut

" Jika musuh kita menyerang daripada segenap sudut yang ada, adakah kita akan selamat dengan bertahan hanya pada satu sudut? "
" Jika mata kita selamat daripada melihat aurat belum tentu telinga kita selamat daripada mendengar orang mengumpat. "
" Jika tangan kita bebas daripada mencuri, belum tentu kaki kita terhindar daripada melangkah ke tempat maksiat."
" Jika mulut kita bersih daripada yang haram, belum tentu kemaluan kita terhindar daripada dosa dan rangsangan. "

Musuh itu pasti menyerang daripada segenap sudut dan melalui segala kemungkinan yang ada. Musuh itu berupakan nafsu yang ada di dalam dirimu atau godaan daripada luar.
Dalam dunia yang sedang kita jalani sekarang, serangan itu semakin menjadi-jadi. Semua perkara dan alat yang kita gunakan di dalam kehidupan seharian akan diaplikasikan oleh musuh-musuh kita untuk melemahkan dan menghancurkan kita.
Hanya dengan melayari internet, kita terus terdedah kepada serangan tersebut sekalipun kita tidak berniat untuk melakukan kemungkaran. Apabila memandu melalui jalan-jalan di kota, kita terus dapat melihat serangan itu terpapar besar di papan-papan iklan. Wanita-wanita mendedahkan bahagian tubuhnya yang merangsang pemikiran lelaki.
Hanya dengan berjalan di sebuah pasaraya untuk memberi barangan keperluan, kita akan terlihat begitu banyak bentuk rangsangan yang merosakkan kekhusyukan ibadah kita. Bahkan hanya dengan memiliki sebuah telefon bimbit, sekian banyak 'SMS' yang masuk menawarkan aksi-aksi panas.
Serangan-serangan yang sedang kita hadapi ini bukanlah sesuatu yang biasa dan sangat menyesakkan dada. Setiap hari kita berhadapan dengannya tanpa diminta. Kita merasakan selamat kerana kita telah sebati di dalamnya. Boleh jadi juga kita sebenarnya telah kalah dan mungkin telah menjadi agen dalaman yang menyerang orang lain.
Kita sebenarnya tidak selamat jika kita hanya bertahan daripada satu sudut. Kita memerlukan sistem pertahanan yang memelihara kita daripada segenap sudut. Kita mesti menahan seluruh anggota yang mungkin diserang oleh musuh termasuk hati. Ya, sekalipun jasad kita selamat daripada benar-benar tewas, hati kita mungkin diserang penyakit yang sukar diubati.
Lebih teruk lagi jika kita gagal menyedari bahawa serangan-serangan itu wujud. Bahkan bertambah malang jika kita sudah tidak mahu bertahan lagi dan asyik dengan hidangan-hidangan yang dipaparkan kepada kita. Suatu hari, kita pasti hancur bersamanya.
Ghazwul fikri (serangan pemikiran) yang kita hadapi ini perlu ditentang dan dilawan secara berterusan. Walaupun kita belum mampu membina sebuah gelombang atau sistem yang boleh menghancurkan serangan sedia ada, bertahanlah daripada serangan dalam diri masing-masing.
"Aku sudah cukup kuat, aku pasti selamat."
" Bagaimana dengan ibu dan ayah kita? Adik-beradik kita, anak dan isteri kita nanti? Adakah kita ingin selamat seorang diri sedangkan Al-Quran memerintahkan untuk kita menjaga diri dan ahli keluarga kita daripada api neraka? "
Binalah kekuatan dalaman dengan bersungguh-sungguh dan dengan penuh kesedaran bahawa kita tidak akan selamat jika kita tidak bersedia untuk sebarang kemungkinan.
" Boleh jadi hari ini kita dapat mengelak, namun esok engkau kita terkandas jua."
Kekuatan iman dan takwa perlu digilap dan ditingkatkan supaya kita boleh bertahan dengan semua bentuk serangan. Kuncinya, bersabarlah kerana memang tak mudah.
" Sedarlah bahawa kita ibarat hidangan di mata musuh kita, bila-bila masa kita akan diterkam dan dimusnahkan jika kita tidak berjaga-jaga. Ya, musuh yang boleh muncul daripada mana-mana sudut dalam apa jua keadaan. Bersedialah. "
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...